malaysia news

Murali Desak Nga Kor Ming Turun Padang Penduduk PPR Jalan Laksamana Terabai.

TELUK INTAN: 5 Nov 2026 “Jangan hanya pandai bercakap, sebaliknya turun padang dan selesaikan masalah rakyat.”

Itu desakan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara Bahagian Teluk Intan, Murali Ballah, terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, susulan pelbagai masalah infrastruktur yang didakwa semakin kritikal di Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana di sini.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi apabila keselamatan dan kebajikan penduduk, termasuk golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta wanita hamil, terus terjejas.

Menurutnya, penduduk mendakwa sudah hampir dua minggu terpaksa berdepan gangguan perkhidmatan lif, menyebabkan penghuni di tingkat atas terpaksa menggunakan tangga untuk menjalankan urusan harian.

“Keadaan ini amat membebankan, khususnya kepada warga emas, OKU dan ibu hamil. Mereka bukan sahaja berdepan kesukaran untuk keluar masuk rumah, malah keselamatan serta keselesaan hidup turut terancam,” katanya.

Murali berkata, masalah lif bukan satu-satunya isu yang menghantui penduduk apabila sistem perpaipan dan tandas tersumbat turut dilaporkan berlaku di kebanyakan unit kediaman.

Lebih membimbangkan, katanya, terdapat keretakan ketara pada dinding dan struktur bangunan yang menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan kediaman berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan menangani masalah penyelenggaraan secara berkesan bukan sahaja menjejaskan keselesaan penghuni, malah berpotensi mengundang risiko lebih besar sekiranya dibiarkan berlarutan.

Sehubungan itu, Murali mendesak Nga supaya segera turun padang bagi meninjau sendiri keadaan sebenar di PPR berkenaan dan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menyelesaikan segala masalah yang dibangkitkan.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen Teluk Intan dan Menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan negara, Nga sepatutnya memastikan kebajikan penduduk di kawasan sendiri turut diberikan perhatian serius.

“Jangan sampai rakyat terpaksa merayu berkali-kali untuk mendapatkan kemudahan asas yang sepatutnya menjadi hak mereka.

“Penduduk bukan meminta kemewahan, sebaliknya hanya mahukan kemudahan asas yang berfungsi, persekitaran yang bersih serta kediaman yang selamat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya sekadar menabur janji tanpa tindakan.

Murali menegaskan, sekiranya Nga gagal melaksanakan tanggungjawab dan memastikan kebajikan penduduk terbela, beliau wajar mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan tersebut, termasuk mempertimbangkan kedudukannya sebagai wakil rakyat.

Leave A Comment

Don’t worry ! Your email address and mobile number will not be published. Required fields are marked (*).

Related News